LIMBANG: Kemudahan lot parkir mencukupi akan disediakan sejajar dengan pelaksanaan Projek Menaiktaraf Tebingan Sungai Limbang Fasa I & II, sejauh 1.7 kilometer yang merupakan projek terpanjang di Sarawak.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, Projek Menaiktaraf Tebingan Sungai Limbang Fasa I akan menyediakan sekitar 160 lot parkir dan 100 lagi parkir disediakan apabila projek sama Fasa II siap nanti.
Selain itu, kira-kira 300 lot parkir akan disediakan apabila projek Tebingan Sungai Limbang siap nanti.
“Kesemua projek yang sedang dalam pembinaan ini akan menangani masalah kekurangan parkir yang dihadapi di bandar Limbang,”tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menyatakan demikian ketika ditemui semasa penyerahan kunci Jejantas Tiga Laluan menghubungkan Jalan Buangsiul, Jalan Bangkita dan Jalan Wong Tsap En dari kontraktor Rimbun Prima kepada Majlis Daerah Limbang (MDL), malam kelmarin.
Turut serta ialah Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan timbalannya Kaunselor Dahlan Dullah, Setiausaha MDL Petrick Linggie Taboh dan Pengurus Tapak Projek Rimbun Prima Royce Wong.
Abdul Rahman turut memberitahu jejantas berkenaan yang sudah siap dibina merupakan satu lagi mercu tanda untuk memperindah dan mengubah landskap pembangunan bandar Limbang.
Menurutnya projek di bawah bidang kuasa MDL itu mampu mengubah landskap pembangunan daerah ini, sekali gus memacu sektor ekonomi dan pelancongan penduduk setempat.
Jejantas tiga laluan ini yang menghubungkan Limbang Plaza,bangunan tamu dan bangunan Persatuan Melayu Limbang (PML), mempunyai mercu tanda yang cantik dan begitu ikonik.
Ini membolehkan masyarakat mengunjungj tiga tempat terbabit dan merancakkan kegiatan ekonomi peniaga.
Malah projek jejantas tiga laluan itu merupakan projek pertama yang siap, diikuti Projek Menaiktaraf Tebingan Sungai Limbang Fasa I yang diijangka siap pada 22 Julai tahun ini, manakala Projek Menaiktaraf Tebingan Sungai Limbang Fasa II dijangka siap September tahun ini.
Jelasnya lagi, projek yang begitu ikonik ini sudah pasti mampu menarik lebih ramai pengunjung datang ke Limbang terutama apabila pandemik Covid-19 kembali pulih.
Oleh itu beliau berharap masyarakat Limbang memberi sokongan terhadap usaha kerajaan membangunkan kawasan ini, sekali gus melibatkan diri secara aktif di dalam bidang perniagaan.
Oleh ADENG EDRUS