LAWAS: Seramai 30 peserta menyertai Ujian Kecergasan dan Pertandingan Lapan Penjuru (Pusat Pembangunan Sepak Takraw) Lawas, baru-baru ini.
Menurut jurulatih Pusat Pembangunan Sepak Takraw Lawas Fathan Akhbar ujian kecergasan itu diadakan melibatkan pemain sepak takraw bagi menilai tahap kecergasan fizikal,mental, dan teknikal pemain.
“Ujian ini membantu jurulatih mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pemain serta merancang program latihan yang lebih berfokus,” katanya kepada media, hari ini.
Objektif lain, katanya, ia dapat menilai kecergasan fizikal dari apsek mengukur daya tahan kardiovaskular, kekuatan otot, kelenturan, dan komposisi badan pemain.
“Ujian kecergasan ini dapat menguji kekuatan kaki, kuasa lompatan, dan keupayaan melakukan servis, spike, atau menahan bola dengan efektif serta menguji kebolehan pemain bergerak dengan cepat dan tepat dalam situasi perlawanan.
“Kita ingin memastikan pemain mampu bertahan dalam aktiviti intensif serta pulih dengan cepat selepas aktiviti dan melihat sejauh mana pemain dapat mengekalkan tumpuan dan membuat keputusan pantas di bawah tekanan,” katanya.
Objektif lain katanya ia dapat meningkatkan prestasi keseluruhan dengan memberikan data objektif untuk menetapkan sasaran prestasi serta meningkatkan keupayaan permainan melalui latihan yang disesuaikan.
“Ujian ini diadakan untuk mencegah risiko kecederaan dengan mengenal pasti ketidakseimbangan otot atau kelemahan fizikal yang boleh menyebabkan kecederaan, supaya langkah pencegahan dapat diambil,” jelas beliau lagi.
Turut sama ialah fasilitator Ustaz Safli Japar, jurulatih Mohd Hirwan Apong dan tetamu lain.
Oleh Adeng Edrus