
SIBU: Seramai 30 peserta terdiri daripada pelajar pascasiswazah, pensyarah dan penyelidik tempatan telah menyertai Siri Bengkel Analisis Bibliometrik 2025 yang dilancarkan secara rasmi di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, semalam.
Bengkel tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional (CEPD) UTS dan Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), bertujuan memperkukuh ekosistem penyelidikan di Sarawak melalui pemahaman serta penggunaan kaedah bibliometrik dalam mengenal pasti kekuatan, jurang dan potensi baharu dalam bidang penyelidikan.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, pendekatan berasaskan data ini membolehkan Sarawak menyusun semula hala tuju penyelidikannya selaras dengan trend global, sekali gus membuka ruang penerokaan dalam bidang yang masih kurang diterokai.
“Analisis bibliometrik membolehkan kita memetakan kekuatan sedia ada seperti pertanian tropika, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi digital, selain mengenal pasti bidang yang boleh diterajui Sarawak pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan bengkel itu.
Bengkel selama tiga hari yang berlangsung dari 9 hingga 11 Jun itu memberi tumpuan kepada penggunaan pangkalan data Scopus, menjadikannya antara bengkel praktikal pertama seumpamanya diadakan di Sarawak.
Menurut Khairuddin, 70 peratus kandungan bengkel itu merangkumi latihan praktikal bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang boleh terus diaplikasikan dalam projek penyelidikan mereka.
“Bengkel ini direka oleh Dr Armstrong Omoregie, penyelidik pascakedoktoral di bawah Pusat Penyelidikan Serantau Borneo dan Pemuliharaan (BORC) UTS, selaras dengan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pembelajaran berasaskan amalan,” katanya.
Tambah beliau, siri bengkel seterusnya akan diteruskan di Curtin University Malaysia, Miri dan Kolej Universiti I-CATS di Kuching bagi memperluas capaian dan impaknya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar SRDC, Profesor Dr Peter Morin Nissom yang diwakili Kelly Yeo Lii Kheng berkata, SRDC menyokong penuh inisiatif tersebut kerana selaras dengan usaha membina kapasiti komuniti penyelidik Sarawak ke arah kecemerlangan global.
“Analisis bibliometrik membantu kami mengenal pasti jurang penyelidikan, membuka peluang baharu dan memperkukuh keupayaan membuat keputusan strategik.
“Pendekatan berasaskan data ini turut meningkatkan impak inovasi serta daya saing cadangan geran kami, selain menambah keterlihatan dan pengaruh penyelidikan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Oleh Tarani Lanting