

PENGISIAN AKTIVITI… Antara pengisian aktiviti di ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, semalam. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Seramai lebih 30 penduduk dari Rumah Jawi dan Rumah Rabaie telah menyertai program ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program tersebut dianjurkan sempena sambutan perayaan Gawai Dayak 2025, dengan tujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap langkah keselamatan kebakaran, khususnya di kawasan rumah panjang.
“Sepasukan bomba dari pasukan Alpha BBP Bintangor diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin mengendalikan program ini.
“Program bermula pada 2.00 petang. Antara aktiviti yang dijalankan adalah taklimat ringkas kesedaran kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media, malam tadi.
Katanya, turut diadakan adalah pengenalan alat pemadam api dan tatacara penggunaan alat pemadam api.
“Pasukan bomba turut berkongsi tatacara mengendali kebakaran dapur memasak.
“Alhamdulillah, program berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek