SIBU: Seramai 30 orang pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Ukur Bahan Kolej Laila Taib (KLT) telah menyertai lawatan ke Lembaga Air Sibu (LAS).
KLT menerusi kenyataannya berkata, program lawatan tersebut yang turut disertai oleh tiga pensyarah bertujuan memberikan peluang unik kepada pelajar untuk mendapatkan pengetahuan secara langsung tentang pembinaan loji rawatan air.
“Inisiatif ini direka bentuk untuk merapatkan jurang antara pembelajaran teori dan aplikasi praktikal, sejajar dengan komitmen kolej untuk melahirkan graduan sedia industri,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan turut memberitahu, lawatan ini memberi tumpuan kepada projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim yang diuruskan oleh Perbena Emas Sdn Bhd.
“Projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti loji daripada 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD,” kata kenyataan.
Katanya, projek naik taraf ini adalah penting untuk memenuhi permintaan air yang semakin meningkat dalam kawasan bekalan LAS sehingga tahun 2036.
“Selain itu, peningkatan ini akan meningkatkan margin rizab loji kepada 30 peratus, sejajar dengan Program Grid Bekalan Air Sarawak untuk wilayah tengah,” jelasnya.
Katanya lagi, projek ini menjanjikan pelbagai manfaat, terutamanya dalam menyediakan akses kepada air bersih yang akan meningkatkan kesihatan awam, mempromosikan pemuliharaan alam sekitar, dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 penduduk sehingga tahun 2036, memberi impak positif kepada komuniti di seluruh Daerah Sibu, Kanowit, Selangau, Maradong, dan Rassau.
“Inisiatif ini menekankan kepentingan pengurusan air yang lestari dalam memacu pembangunan sosial dan ekonomi,” kata kenyataan itu lagi.