
SINGAPURA: Kesemua 30 orang yang berada di atas kapal berdaftar di Indonesia, Facific Memory II berjaya diselamatkan daripada perairan berhampiran Pedra Branca pada Selasa, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Dalam satu kenyataan, agensi itu memaklumkan yang Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) yang dikendalikan oleh MPA menerima maklumat pada kira-kira 7.20 pagi yang kapal itu terbalik bersama beberapa orang yang berada di dalam air, kira-kira 14.6 batu nautika timur laut Pedra Branca, dalam Kawasan Mencari dan Menyelamat Maritim Singapura.
MRCC Singapura, yang menyelaras operasi mencari dan menyelamat, segera mengeluarkan siaran navigasi kepada kapal di kawasan berhampiran untuk memberikan bantuan.
“MRCC Singapura mengarahkan kapal pengangkut pukal berdaftar di Liberia, Andros Spirit, untuk menyelamatkan mangsa yang berada di dalam air.
“Kapal itu tiba di lokasi tidak lama kemudian dan berjaya menyelamatkan kesemua 30 individu yang berada di atas Facific Memory II,” menurut kenyataan itu.
Kesemua individu yang diselamatkan akan dibawa ke Batam, Indonesia.
MRCC Singapura turut memaklumkan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) dan MRCC Malaysia mengenai kejadian itu.– Bernama