PALOH: Tiga kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menerima projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Menurut UKAS, majlis serahan tapak projek itu diadakan di tiga lokasi hari ini.
Ia disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat Penerangan dan UKAS) yang juga ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol bersama calon GPS bagi Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab.
Penyerahan tapak projek pertama diadakan di Kampung Berangan kepada kontraktor Syarikat Rafie 77 Enterprise untuk membina jeti di Jalan Ban (menghadap Sungai Bangau) di Daerah Tanjung Manis yang bernilai RM180,000.
Abdullah kemudiannya menyaksikan penyerahan tapak projek baikpulih surau Kampung Kedang, Daerah Tanjung Manis bernilai RM100,000.
Ia disusuli dengan penyerahan projek RTP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hulu Paloh iaitu peruntukan Bina Baru Titian menuju ke Rumah Hatta Herman dan Fatimah bernilai RM44,000.
Kesempatan sama dimanfaatkan oleh Abdullah untuk membantu Yusuf meneruskan kempen di Kampung Paloh, Kampung Kedang dan Berangan.
Beliau dan Yusuf juga menyeru penduduk setempat agar memberikan sokongan padu kepada calon GPS untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan.
Pelbagai aktiviti dijalankan semasa ‘walkabout’ itu sekali gus memberi peluang kepada Abdullah dan Yusuf bersua muka dan beramah mesra bersama penyokong sambil memberi penerangan memgenai halatuju sekiranya GPS menang pada PRU 15 ini.