KUALA LUMPUR: Barang kemas antara perhiasan utama wanita, namun berapa kerapkah ia dicuci?
Jangan bimbang kerana Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menawarkan perkhidmatan ‘Jom Cuci Emas’ secara percuma di reruai Kementerian Perpaduan Negara pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, yang akan berakhir hari ini.
Penolong Kurator Bahagian Konservasi JMM Sharipah Lok Lok Syed Idrus berkata perkhidmatan pembersihan barang kemas itu merupakan pengisian interaktif bersama pengunjung untuk mereka berkongsi aktiviti konservasi artifak logam oleh jabatan.
“Selain emas dan emas putih, kami juga mencuci barang kemas daripada perak. Proses mencuci mengambil sekitar lima minit dan sepanjang tempoh itu, kami akan mengambil peluang berkongsi kaedah konservasi yang dilakukan JMM dengan pengunjung.
“Proses mencuci menggunakan mesin dan bahan pencuci barang kemas untuk mengembalikan kilauan emas dengan selamat tanpa menghakis,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sharipah Lok Lok berkata setakat ini perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan bukan hanya daripada golongan wanita, tetapi juga lelaki yang berhasrat mencuci cincin perkahwinan diperbuat daripada perak.
Perkhidmatan pembersihan barang kemas itu julung kali diadakan dan dilakukan di depan pengunjung.
Pekerja swasta Shahira Nasrun, 28, dari Setapak di sini berkata dia tidak menyangka terdapat perkhidmatan seperti itu disediakan kerana lazimnya dilakukan oleh kedai emas dengan upah tertentu.
“Saya sendiri sudah lima tahun tidak pernah mencuci rantai emas. Jadi peluang untuk mencuci dengan percuma sudah tentu dimanfaatkan… nampak lebih berkilau selepas dicuci dan prosesnya juga tidak mengambil masa lama,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Nor Atiqah Abdul Rahim, 35, berkata perkhidmatan yang ditawarkan memberi banyak manfaat kepadanya kerana dia mendapat banyak input berhubung kerja konservasi oleh JMM, semasa menunggu barang kemasnya selesai dicuci.
“Sebelum ini, kita hanya nampak apa yang telah dipamerkan, namun kita tidak tahu kerja di belakang tabir. Seronok kerana mereka juga berkongsi pengalaman dan kita juga boleh bertanya… tahu-tahu barang kemas selesai dicuci,” katanya. – Bernama