


KUCHING: Tiga kenderaan disita dalam Ops Khas Motosikal, Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Luxury yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui Unit Operasi JPJ Kuching sempena Tahun Baharu Cina 2026, hari ini.
Operasi yang dijalankan menerusi rondaan dan pemantauan di sekitar bandar Kuching serta penguatkuasaan statik di Jalan Setia Raja itu melibatkan pemeriksaan terhadap 294 kenderaan pelbagai jenis.


Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu sah, tidak memakai tali pinggang keledar serta kesalahan teknikal kenderaan.
Dalam operasi sama, Toyota Vellfire dan sebuah Perodua Bezza disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans. Kereta Perodua Kenari turut disita kerana dipandu warga asing yang tidak memiliki lesen memandu sah.
JPJ Sarawak memaklumkan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan jalan raya terpelihara dan orang ramai diingatkan supaya mematuhi peraturan serta memastikan dokumen kenderaan sah sebelum digunakan.