

CERAMAH…Para peserta sedang fokus mendengar ceramah dari pihak bomba. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Seramai 292 peserta yang terdiri daripada murid, guru dan staf Sekolah Kebangsaan (SK) St. Alphonsus telah menyertai ceramah keselamatan kebakaran semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata menerusi jumlah tersebut, 241 orang adalah murid-murid, 26 guru dan 25 staf.
“Program dijalankan bermula 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
“Dua anggota bomba mengendalikan program tersebut memberi pendedahan awal tentang bahaya kebakaran serta langkah pencegahan kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pengisian utama merangkumi ceramah bahaya kebakaran dan demonstrasi alat pemadam api dengan teknik yang betul.
“Program sebegini sangat penting untuk memberi pengetahuan awal kepada warga sekolah tentang langkah pencegahan dan tindakan segera jika berlaku kebakaran.
“Pendidikan keselamatan kebakaran perlu bermula sejak di bangku sekolah.
“Apabila warga sekolah faham cara bertindak, risiko kecederaan dan kerugian harta benda dapat dikurangkan sekiranya berlaku kebakaran di sekolah,” katanya.
Tambahnya, sepanjang program, para peserta memberikan kerjasama penuh kepada pihak bomba.
“Selain itu, pihak kami turut menjalankan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran di sekolah tersebut,” katanya.
Oleh Earl Anek