
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes gigitan anjing di kawasan pentadbirannya dengan 290 kes dilaporkan sepanjang April lalu.
Pengerusinya, Clarence Ting, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 216 kes melibatkan anjing yang tidak diketahui pemiliknya, menurut statistik dikeluarkan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.
“Walaupun tiada wabak rabies dikesan di Sibu, angka ini jelas membimbangkan dan memerlukan perhatian serius,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis, semalam.
Menurut Ting, MPS menerima banyak aduan mengenai anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan, namun tindakan pantas pasukan kawalan sering terbantut apabila haiwan tersebut tidak lagi berada di lokasi semasa ketibaan pihak berkuasa.
“Kami harap masyarakat dapat bekerjasama. Jangan biarkan anjing peliharaan berkeliaran. Ada yang disangka anjing liar, tapi sebenarnya ada pemilik,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, MPS turut mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa pengurusan bencana tersendiri, bagi mempercepatkan gerak balas terhadap kejadian bencana seperti banjir.
Jelas Ting, walaupun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu sedia wujud di bawah Pejabat Residen, MPS sering menjadi rujukan utama oleh masyarakat setempat semasa kecemasan berlaku.
“MPS perlu ada peranan tersendiri. Penubuhan jawatankuasa ini akan membantu penyelarasan lebih cekap serta memantapkan kerjasama dengan struktur pengurusan sedia ada,” katanya.
Mengulas isu pengurusan sisa pepejal, Ting berkata tapak pelupusan kedua di Kemuyang kini hampir mencapai kapasiti maksimum, dengan kandungan plastik yang tinggi menjadi antara punca utama masalah pemadatan.
“Masalah utama adalah kandungan plastik yang tinggi dalam sisa domestik yang menyukarkan proses pemadatan,” katanya.
Sebagai penyelesaian, MPS sedang menimbangkan pelaburan dalam mesin pencincang plastik bagi menguruskan sisa dengan lebih berkesan dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.
“Tanpa mesin ini, kita akan terus berdepan cabaran besar. Kos membina tapak baharu jauh lebih tinggi berbanding melabur dalam peralatan,” tambah beliau.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Pemangku Setiausaha MPS, Sait Enggang.
Oleh Tarani Lanting