
KUCHING: Sebanyak 283 projek pembangunan luar bandar berjaya disenaraikan menerusi Bengkel Penyediaan Senarai Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Bahagian Betong Tahun 2027 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bengkel tersebut menjadi platform penting bagi menyelaras cadangan projek bersama agensi berkaitan serta mendapatkan input teknikal khususnya dalam penyediaan Dokumen Senarai Kuantiti (BQ).
”Bengkel ini bertujuan merancang senarai cadangan projek secara menyeluruh bersama agensi berkaitan, di samping mendapatkan khidmat nasihat teknikal berkaitan BQ supaya setiap projek yang dicadangkan lebih tepat dan berdaya laksana,” katanya.
Menurut beliau, selepas makmal ini selesai, senarai penuh RTP 2027 akan dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat mengikut kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi proses seterusnya.

Uggah menjelaskan bahawa penglibatan agensi teknikal adalah kritikal bagi memastikan anggaran kos adalah tepat sebelum projek tersebut didaftarkan secara rasmi ke dalam sistem pemantauan kerajaan.
”Seterusnya, agensi teknikal akan menyediakan BQ berdasarkan kos projek sebelum dimasukkan ke dalam sistem RTPMS selewat-lewatnya pada 30 Jun 2026,” jelas beliau lagi bagi menggambarkan garis masa pelaksanaan tersebut.
Projek yang dikenal pasti merangkumi kawasan Parlimen dan DUN yang luas, termasuk Parlimen Batang Lupar, Parlimen Betong, DUN Lingga, DUN Beting Maro, dan DUN Engkilili.
Selain itu, perancangan ini turut merangkumi kawasan di DUN Saribas, DUN Layar, DUN Bukit Saban, DUN Kalaka, DUN Krian, dan DUN Kabong bagi memastikan agihan pembangunan yang saksama.
Bengkel ini turut disertai pelbagai agensi penting termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SIMU), Sarawak Energy Berhad (SEB) serta pejabat daerah di bawah Pentadbiran Bahagian Betong.
Pelaksanaan projek pula akan melibatkan agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi.
Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Betong dan Majlis Daerah Saratok juga akan memainkan peranan utama dalam memastikan setiap projek di bawah seliaan mereka mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Turut hadir sama dalam bengkel ini ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; ADUN Beting Maro, Dato Razaili Gapor; ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir; serta Residen Betong, Datu Richard Michael Abunawas.
Oleh Adi Safarman