PANTU: Sejumlah 2,829 hektar kawasan Skim Pengairan di seluruh negeri ini disasar bagi tujuan penanaman vareiti padi moden sebanyak dua kali setahun menjelang 2030.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata tujuanya adalah untuk membolehkan Sarawak mencapai 70 peratus tahap sara diri beras menjelang tahun itu.
“Buat masa kini, tahap sara diri beras dalam negeri kita masih lagi berada pada tahap yang rendah iaitu hanya 51 peratus sahaja,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Penuaian Benih Padi Berkualiti di Kampung Limau di sini pada Selasa lepas.
Bagi mencapai sasaran tersebut, varieti padi moden jenis M-R-2-6-9 dan M-R-2-9-7 kata Roland telah pun dipilih bagi tujuan itu keraan ia mempunyai tempoh matang yang singkat iaitu sekitar tiga bulan setengah selain mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.
Beliau turut menambah bahawa penambahbaikan infrastruktur ladang dan penggunaan mekanisasi ladang juga akan dijadikan sebagai inisiatif bagi membantu mencapai sasaran keperluan beras negeri selain menggunakan benih padi varieti moden itu.
“Pada tahun lepas, jumlah keluasan kawasan padi dalam negeri ini adalah 61,064 hektar. Daripada jumlah itu, sejumlah 7,238.3 hektar berada dalam skim Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) manakala selebihnya berada di luar skim.
“Ia menunjukkan bahawa kita tidak menggunakan tanah sedia ada bagi tujuan penanaman padi secara maksimum,” katanya sambil menambah kebanyakan kawasan sawah padi itu bersaiz kecil dengan purata hasil hanya sebanyak 3.1 tan metrik sehektar.
Selain itu Roland juga amat mengalu-alukan tindakan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan DID Sarawak dalam berganding bahu bagi membangunkan kawasan tanaman padi sedia ada dan yang terbiar dalam negeri ini.
“Usaha kedua-dua pihak ini adalah amat penting demi memastikan kesemua kawasan sawah tersebut kembali produktif dan mengeluarkan padi dengan kuantiti serta kualiti yang berlipat ganda.
Terdahulu seluas 15 hektar kawasan Paya Kudak, Kampung Limau di sini telah dibangunkan bagi tujuan pengeluaran benih padi vareiti moden seperti yang dilaksana di Stumbin dan Tanjung Bijat.
Projek perintis yang dikendali oleh pihak Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman itu telah bermula pada pertengahan Ogos lepas dengan sasaran pengeluaran sebanyak empat tan metrik sehektar menerusi penanaman padi dua musim setahun.
Untuk permulaan, projek ini memberi tumpuan untuk mengeluarkan benih padi berkualiti sebelum kawasan tersebut dibangunkan untuk pengeluaran padi atau beras secara komersial.
Sambil melibatkan penyertaan seramai 21 pemilik tanah, projek di Kampung Limau berkenaan berteraskan mekanisasi ladang dengan penggunaan jentera dan mesin selain penggunaan dron untuk pembajaan.
Musim pertama menyaksikan benih padi daripada vareiti M-R-2-6-9 dapat dituai pada Disember ini.
Oleh VALENTINE NGUMBANG