Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • 28 sekolah di Sarawak tidak beroperasi akibat banjir
  • TEMPATAN

28 sekolah di Sarawak tidak beroperasi akibat banjir

Utusan Sarawak 6 hours ago
PENGARAH Pendidikan JPN Sarawak, Omar Mahli, ketika ditemui media memaklumkan 28 sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi akibat banjir.

PETRA JAYA: Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Omar Mahli, berkata sebanyak 28  sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi pada pagi ini susulan situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri berkenaan.

Menurut beliau, pada awalnya pihak JPN Sarawak melaporkan 42 sekolah tidak dapat beroperasi, namun selepas perbincangan dan penilaian semula bersama semua sekolah terlibat pada sebelah petang, jumlah itu dapat dikurangkan kepada 26 sekolah.

“Bagaimanapun, malam tadi pihak pengurusan bencana melaporkan terdapat dua lagi sekolah yang dimasuki air dan tidak dapat beroperasi, menjadikan keseluruhan 28 sekolah tidak beroperasi pada pagi ini,” katanya ketika ditemui media sebelum Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan JPN Sarawak Tahun 2026 di SMK Petra Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Omar berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan kerosakan serius melibatkan aset sekolah, walaupun paras air dilaporkan meningkat di beberapa kawasan.

Beliau menjelaskan, JPN Sarawak telah membuat persiapan awal dengan mengingatkan pihak sekolah beberapa kali supaya memastikan aset dan peralatan sekolah diletakkan di tempat tinggi bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk.

“Setakat ini saya belum menerima laporan mengenai kerosakan besar. Air memang naik, tetapi langkah berjaga-jaga telah diambil lebih awal,” katanya.

Berhubung kelangsungan pembelajaran murid, beliau berkata Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dicadangkan sebagai pendekatan terbaik bagi sekolah yang terjejas.

“Lagipun, dalam minggu pertama persekolahan ini, kita melaksanakan sesi suai kenal dan pembelajaran secara santai atau fun learning (pembelajaran menarik),” tambahnya.

JPN Sarawak akan terus memantau situasi banjir dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan keselamatan serta kebajikan warga sekolah terjamin.

Terdahulu, Omar melaporkan kepada media semalam 26 sekolah di Sarawak dijangka tidak dapat memulakan operasi pada hari pertama sesi persekolahan susulan masih terjejas banjir.

Omar berkata hasil tinjauan mendapati sekolah terjejas terletak di Daro, Mukah, Selangau (Sibu) serta Tatau dan Sebauh (Bintulu).

“Sekolah yang terlibat ialah SK Kg Pangtray, SK OK Selair dan SJK(C) Chung Hua di Daro; serta SK Nangga Selangau, SK Kuala Lemai, SK Ulu Sungai Arip dan SK St Mark di Selangau.

“Manakala 19 sekolah di Tatau dan Sebauh membabitkan SJK(C) Chung Hua Tatau, SJK(C) Chung San, SK Bukit Mawang, SK Hermanus Assan, SK Kuala Binyo, SK Kuala Kebulu, SK Kuala Muput, SK Kuala Sigu, SK Labang, SK Nanga Penyarai, SK Nanga Tau, SK Pandan, SK Rumah Tayai, SK Sebauh, SK Sungai Bukit Balai, SK Sungai Genaan, SK Sungai Sebungan, SK Sungai Sengian dan SK Sungai Bagian,” katanya.

Beliau berkata sekolah-sekolah berkenaan tidak dapat beroperasi kerana kawasan sekolah masih digenangi air selain laluan jalan ke kawasan kediaman atau kampung tidak dapat diakses akibat banjir.

Sementara itu, beliau memaklumkan lapan buah sekolah di Sarawak dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), melibatkan tujuh sekolah di Serian dan satu di Selangau.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Banjir Sarawak: Jumlah mangsa meningkat kepada 2,949 setakat malam ini
Next: Hasil negeri 2025 cecah RM13.5 bilion

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.