KETUA jurulatih skuad bola sepak Sukma Sarawak, Ahmad Fairuz Mohd. Yunus memberitahu, pemain akan mula melapor diri pada 28 Jun ini.
Sekali gus, akan memulakan sesi latihan penuh yang dijadual bermula pada 1 Julai depan sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020.
“Pemain akan lapor diri pada 28 Jun ini dan latihan penuh akan bermula 1 Julai depan,” ujar Ahmaf Fairuz ketika mengulas mengenai perkara itu.
Katanya, seramai 15 orang pemain dari luar kawasan yang belum tiba di Kuching sehingga kini kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara.
Ditanya sama ada kalangan pemain yang menarik diri, Ahmad Fairuz memberitahu, memang ada seorang daripada anak didiknya yang tidak dapat meneruskan tugas bersama pasukan kerana terpaksa menyambung pelajaran.
“Setakat ini ada seorang pemain yang tidak dapat bersama pasukan kerana menyambung pelajaran,” tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fairuz turut menyatakan sesi latihan pauskan itu kelak berpandu kepada Prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan.
“Kita akan melakukan penerangan kepada pemain berhubung SOP ditetapkan apabila mereka tiba melapor diri kelak,” jelas beliau lagi.
Sambil mengakui sesi latihan membabitkan pemain kelak akan dibahagi kepada beberapa kumpulan serta mengikuti jadual yang telah disusun atur sepenuhnya.
“Jadual latihan tidak seperti sebelumnya, kena ikut SOP ditetapkan. Dan sebab itu kita terpaksa membahagikannya kepada beberapa kumpulan,” ujar Ahmad Fairuz lagi.
Skuad untuk ke temasya dwitahunan negara itu bakal mengadunkan kundrat pemain tiga pasukan berbeza iaitu Sarawak United III, Sarawak United IV dan skuad Piala Presiden Kuching FA.
Oleh Faizal Bujang