
SIMANGGANG: Sejumlah 28 beg darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Sri Aman yang berlangsung dekat sini, semalam.
Kempen berkenaan diadakan dari 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di Dewan Pejabat BSMM Daerah Sri Aman, berdekatan bulatan Jalan Hospital di sini, dan menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Pengerusinya, Isaac Stalin Simon, berkata seramai 29 individu dari sekitar kawasan Sri Aman hadir bagi menyertai kempen tersebut, namun hanya 28 daripadanya layak menderma selepas melalui proses saringan kesihatan.


“Daripada jumlah itu, seorang individu tidak melepasi saringan kesihatan, menjadikan hanya 28 orang layak menderma pada kempen kali ini,” katanya ketika ditemui.
Isaac turut menzahirkan penghargaan kepada semua penderma serta Tabung Darah Hospital Sri Aman yang membantu menjayakan program berkenaan.
“Satu beg darah mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa. Oleh itu, kami berharap lebih ramai tampil menderma dalam program akan datang bagi membantu pesakit yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau menambah, BSMM akan terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan, sekali gus melahirkan lebih ramai penderma sihat dengan darah berkualiti untuk kegunaan perubatan.
Oleh Adi Safarman