
BELAWAI: Seramai 278 penerima menerima surat hak milik membabitkan 345 lot tanah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, sekali gus memperkukuh jaminan pemilikan tanah yang sah serta mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memelihara kepentingan rakyat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penyerahan surat hak milik itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan rakyat menikmati hak pemilikan tanah yang sah dan terjamin.
Beliau berkata, majlis anjuran Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah itu menyaksikan 278 penerima menerima surat hak milik bagi 345 lot tanah di kawasan DUN Kuala Rajang.
“Pemberian hak milik tersebut melibatkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak bagi tujuan pertanian serta Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di bawah peringkat kedua inisiatif baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 (Pertanian) dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi DUN Kuala Rajang di Dewan Masyarakat Kampung Belawai, semalam.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, bagi Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak, sebanyak 58 lot tanah di kawasan Seberang Belawai diserahkan kepada 45 penerima daripada komuniti Melanau untuk tujuan pertanian.
Beliau berkata, di bawah Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak pula, kawasan Kampung Stalun, Batang Belawai melibatkan 191 lot tanah yang diterima oleh 149 penerima daripada komuniti Iban.
“Selain itu, kawasan Sungai Nonok, Batang Belawai melibatkan 96 lot tanah yang diserahkan kepada 84 penerima daripada komuniti Melanau,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Tanah dan Survei, Datu Awang Zamhari Awang Mahmod Pengarah Pembangunan Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Datu Jasni Jubli Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, TPr Wan Sufian Wan Mustapha Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah, Dahari Anis serta Pemanca Daerah Tanjung Manis, Morshidi Monis.
Oleh Earl Anek