


Kursus Asas Pertolongan Cemas dan CPR yang dianjurkan dengan kerjasama APM Daerah Betong, hari ini. Foto: APM Betong
BETONG: Seramai 27 peserta yang terdiri daripada pendidik dan kakitangan SEDIDIK Zon Betong telah menyertai Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Latihan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) hari ini.
Program itu merupakan anjuran dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong.
Kursus tersebut menekankan aspek penting dalam menghadapi situasi kecemasan termasuk pertolongan cemas, teknik CPR, rawatan ketika tercekik, balutan dan kepatahan, cara melepaskan diri dari bangunan terbakar serta asas melawan kebakaran.



Kursus Asas Pertolongan Cemas dan CPR yang dianjurkan dengan kerjasama APM Daerah Betong, hari ini. Foto: APM Betong
Latihan dikendalikan oleh tenaga pengajar APM terdiri daripada Kapten Siti Huzaimah Ibrahim, Sarjan Michael Awan Aing, Lans Korperal Mohd Dzulnizam Mohd Faisal, Lans Korperal Mohd Ajrun Azhim Walhat@Wahid dan PBT Sebastian Galing Undi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Siti Huzaimah Ibrahim, pendedahan tersebut amat penting khususnya kepada para pendidik yang sentiasa berhadapan dengan murid dan masyarakat.
“Ilmu pertolongan cemas dan CPR bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah membina keyakinan diri peserta untuk bertindak segera ketika kecemasan,” katanya.


Kursus Asas Pertolongan Cemas dan CPR yang dianjurkan dengan kerjasama APM Daerah Betong, hari ini. Foto: APM Betong
Beliau turut berkongsi pengalaman sepanjang bertugas sebagai anggota penyelamat APM, selain memberi ceramah berkaitan pengurusan kecemasan.
Kursus tersebut turut diusahakan oleh Pemangku Pengurus Operasi SEDIDIK Zon Betong, Mastira Mut bersama pasukan fasilitator APM Betong.
Sepanjang sesi, semua peserta dilaporkan memberi komitmen penuh dan keadaan program berjalan lancar serta terkawal.
Oleh Adi Safarman