

Ops Sapu dan Ops Minyak di sekitar Bintulu, hari ini. Foto JIM Sarawak
BINTULU: Seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Ops Sapu dan Ops Minyak di sekitar kawasan Bintulu hari ini.
Operasi serentak itu dilaksanakan Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP) JIM Sarawak hasil risikan, dengan kekuatan lapan anggota.
Ops Sapu dijalankan bermula 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi menyasarkan tiga rumah sewa, manakala Ops Minyak bermula 10.00 hingga 11.00 pagi di dua premis cucian kenderaan dan perkhidmatan perincian kereta.

Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 19 warganegara Indonesia dan lapan warganegara Bangladesh ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesalahan dikesan termasuk di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” kata kenyataan JIM Sarawak.
Kesemua 27 PATI ditahan di Depoh Imigresen Bekenu untuk siasatan lanjut.

Selain itu, dua individu tempatan masing-masing seorang lelaki dari Semenanjung dan seorang wanita tempatan diberikan Notis Saman Saksi bagi membantu siasatan berkaitan kes ini.
JIM Sarawak menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.