
KUALA LUMPUR: Sebanyak 204 aduan berkaitan penipuan umrah dengan anggaran kerugian RM3.6 juta direkodkan sejak 2024 hingga Mei lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau berkata dalam tempoh yang sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menerima 58 aduan berkaitan penipuan pakej haji dengan anggaran kerugian lebih RM600,000.
Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah pula, beliau berkata sepanjang musim haji 1446 Hijrah atau tahun ini, sekurang-kurangnya 97 rakyat Malaysia ditahan dan diusir oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
“Manakala 34 individu telah didenda kerana cuba mengerjakan ibadah haji tanpa visa yang sah,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu jumlah kerugian yang ditanggung oleh jemaah haji dan umrah bagi tahun 2024 dan 2025, selain tindakan kerajaan dalam menangani masalah jemaah yang sering tertipu oleh ejen yang menyediakan pakej haji atau umrah.
Berhubung status kes 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan haji baru-baru ini, Zulkifli berkata Lembaga Tabung Haji (TH) dimaklumkan bahawa sebanyak 25 laporan polis dibuat pengadu berkaitan kes penipuan pakej haji, pada 23 Jun lepas.
“Pada 26 Jun didapati terdapat pelanggaran peruntukan Seksyen 21 A,C dan D Akta Tabung Haji 1995 oleh pihak yang mengelolakan perjalanan haji tersebut walaupun mereka bukan pemegang lesen pengelola Jemaah haji (PJH) yang sah bagi musim haji 2025.
“Pada 29 Julai, dua indidvidu dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1995 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 27(2)(a) akta yang sama, jika disabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata MOTAC juga telah dimaklumkan tentang pelanggaran peruntukan bawah akta berkenaan oleh syarikat terlibat dan oleh itu kementerian boleh mengambil tindakan penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 kerana menjalankan perniagaan sehingga memudaratkan kepentingan awam.
Menyentuh laporan jemaah haji yang terkandas atas cubaan menggunakan visa pelancong bagi tujuan melaksanakan haji overstay bagi musim haji tahun ini, Zulkifli menjelaskan agensi atau individu terlibat bukan dalam kalangan PJH yang dilesenkan oleh TH.
“TH hanya boleh ambil tindakan terhadap PJH berlesen dengan TH membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan atau denda atau kedua-duanya,” katanya.– Bernama