SIBU: Seramai 26 peserta menyertai Kursus Asas Mengurus Koperasi Baharu anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak yang berlangsung di sini pada Selasa dan Rabu lalu.
Program berkenaan menghimpunkan peserta yang baharu menubuhkan koperasi dalam tempoh antara satu hingga dua tahun.
Ia bertujuan memberikan pendedahan mengenai asas pengurusan koperasi, proses membuat keputusan, asas perniagaan serta pengenalan kepada pendigitalan koperasi.
Pensyarah Kanan IKMa, Mohamad Suandi Mortadza dan Frank Meol Abdullah, tampil sebagai penceramah utama sepanjang kursus dua hari itu.
Mohamad Suandi yang juga penyelaras program berkata, kursus terbabit diharap dapat membantu peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh bagi memperkukuh pengurusan koperasi masing-masing.
Beliau turut memaklumkan bahawa program itu merupakan penganjuran berjadual terakhir IKMa Zon Sarawak di Sibu bagi tahun ini, dan berharap lebih ramai koperator akan terus mengikuti siri kursus seterusnya pada 2026.
Oleh TARANI LANTING