SARATOK: Seramai 26 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan tenaga pengajar Pusat Giatmara Saratok telah menyertai program Latihan Orang Awam (LOA) hari ini.
Program yang diadakan bersempena dengan Minggu Orientasi Pusat Giatmara Saratok bagi Sesi Julai 2026 ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal mengenai kepentingan ilmu pertahanan awam kepada para pelatih baharu.
Program yang berlangsung dengan jayanya itu telah diadakan di Bilik Jahitan Giatmara Saratok. Sesi latihan dan ceramah ini bermula seawal 9.30 pagi dan berakhir pada 11.30 pagi, di mana para peserta memberikan komitmen serta tumpuan yang sepenuhnya sepanjang program berkenaan berjalan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, program seumpama ini amat penting dalam melahirkan komuniti yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek keselamatan.
Beliau turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang sesi perkongsian ilmu tersebut berlangsung.
Kehadiran bagi menjayakan program ini melibatkan seramai dua orang Pegawai APM Daerah Saratok. Selain itu, tugasan ini turut dibantu oleh dua orang anggota APM Saratok yang bertindak sebagai pemudah cara dan demonstrator bagi sesi praktikal.
Pihak Pusat Giatmara Saratok pula diwakili oleh dua orang tenaga pengajar yang turut serta memantau perjalanan program berkenaan.
Manakala baki penglibatan lain adalah terdiri daripada 20 orang pelajar baharu yang sedang mengikuti minggu orientasi di institusi kemahiran tersebut.
Sepanjang dua jam program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai silibus latihan kecemasan yang amat praktikal.
Antara pengisian utama latihan tersebut termasuklah teori dan praktikal mengenai asas pertolongan cemas yang amat berguna sebagai tindakan awal sekiranya berlaku sebarang kemalangan.
Selain daripada itu, para pelajar juga diajar mengenai kaedah menyelamat mangsa yang mengalami situasi tercekik atau ‘choking’.
Teknik-teknik menyelamat yang betul telah ditunjukkan oleh anggota APM bagi memastikan para peserta dapat mengaplikasikannya dengan selamat dan berkesan.
Silibus latihan tersebut diteruskan lagi dengan modul asas balutan luka dan pengendalian kes kepatahan tulang.
Penerangan yang jelas serta latihan amali secara berpasangan membolehkan para pelajar memahami cara-cara mengurangkan kecederaan mangsa sebelum bantuan perubatan profesional tiba di lokasi kejadian.
Secara keseluruhannya, program latihan ini telah berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Penganjuran aktiviti ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya, malah secara tidak langsung telah meningkatkan pengetahuan serta kesiapsiagaan para peserta dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan di masa hadapan.
Oleh Adi Safarman



