SIBU: Sebanyak 26 band dari tiga negara akan beraksi pada Konsert Nusar Unleashed 2025 di Stadium Tertutup Sibu pada 8 dan 9 Februari depan.
Konsert yang bermula 11.00 pagi hingga 12.00 tengah malam itu, dianjurkan oleh Entrex World Empire, Scenedekat serta No Solucion dan menampilkan band-band dari Malaysia, Brunei serta Indonesia.
Penganjur konsert, Zulfikar Fariz Ahmad berkata, konsert itu adalah gabungan genre indie dan metal diadakan khusus bagi menarik band-band tempatan membuat persembahan di atas satu pentas yang sama.
“Kita ada lebih kurang 17 band dari Sarawak yang akan membuat persembahan dan beberapa band jemputan dari Semenanjung seperti OAQ, The Times dan Tebabo.
“Tiga band dari Indonesia iaitu Seringai, Konfliktion dan Kelompok Penerbang Roket, selain satu band jemputan dari Brunei iaitu Empty Wallet.
“Kita ada 26 band yang akan membuat persembahan untuk Nusar Unleashed 2025 ini,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.
Katanya, penganjuran konsert itu adalah bagi memartabatkan band-band tempatan Sarawak daripada pelbagai genre muzik seperti Larrong yang merupakan satu nama besar dalam industri muzik ‘underground’ di Sarawak dan Malaysia.
“Band-band lain dari Sarawak ialah Mono & Saturday Heroes dan Destroying Ears dari Kuching, Nimang Ensera dari Miri, Hemewrath dari Bintulu, Baksidik dari Sibu dan banyak lagi.
“Band-band tempatan ini akan beraksi pada permulaan konsert atau sebelah siang, manakala band yang dijemput khas dari Semenanjung, Brunei dan Indonesia akan beraksi pada sebelah malam,” katanya lagi.
Katanya lagi, pihaknya menyasarkan 2,000 penonton hadir menyaksikan konsert untuk dua malam tersebut, yang mana setakat ini hampir 700 tiket telah terjual.
“Rata-rata membeli tiket untuk dua malam yang berharga RM100, berbanding RM60 untuk satu malam.
“Kita juga memberikan pas istimewa kepada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berharga RM50 untuk dua malam.
“Kita galakkan mereka untuk hadir pada konsert ini yang mengetengahkan muzik sebagai satu bahasa yang senang untuk kita sampaikan mesej.
“Walaupun muzik itu keras dari luaran, namun mesej dalam lagu itu kita boleh dengar dan fahami.
“Jadi setiap genre yang kita bawa hampir kesemuanya muzik rock, namun ada sebahagian rock yang kita tidak tahu ia wujud seperti Grindcore, Death Metal, Alternatif dan Stone Rock. Banyak genre yang kita cuba ketengah pada konsert ini,” kata beliau.
Selain konsert, katanya, pihak penganjur juga mengadakan festival makanan, kraf tangan dan produk tempatan di luar stadium, dengan 100 reruai disediakan kepada mereka yang berminat dengan bayaran RM800 untuk satu tapak reruai.
“Festival ini bermula bermula 6 hingga 9 Febuari, dengan pelbagai aktiviti dijalankan seperti persembahan akustik oleh bakat tempatan dan sebagainya.
“Walaupun orang ramai tidak membeli tiket untuk menyaksikan konsert, mereka boleh datang berkunjung ke festival ini pada bila-bila masa,” kata beliau.
Mengulas tentang tiket, Zulfikar memberitahu, tiket boleh dibeli secara dalam talian dengan melayari laman Facebook Nusar Jammed Fest atau daripada pengedar sah tiket di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Untuk pembelian dalam talian, turut ditawarkan pas VIP Stand dengan harga RM188 dan VIP Box berharga RM388, untuk dua malam, selain berpeluang untuk sesi ‘Meet & Greet’ dengan band-band yang membuat persembahan.
“Ini merupakan kali pertama kita mengadakan konsert yang berskala besar di Sibu dan menjemput band-band dari luar negara. Jika berjaya, kita akan jadikan konsert ini sebagai acara tahunan untuk Sibu,” ujarnya.
Turut hadir, Tazudin Murni dari band Larrong, Pegawai Perhubungan Amirul Hisyam Aseri, Pereka Grafik/Pegawai Bakat Ahmad Khalek Syafri Bujang, Pegawai Persembahan Abang Mohd Ibrahim Abang Mortadza dan Pegawai Lapangan Mazlan Zamanhan Sulaiman dan Man Kronyok.
Oleh Akun Giman