258 graduan IKBN Miri diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-18

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH... Chan Hong Jin menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan pada Istiadat Konvokesyen IKBN Miri Ke-18 Tahun 2026 di Miri, hari ini.

MIRI:  Seramai 258 graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri diraikan pada Istiadat Konvokesyen IKBN Miri, Sarawak Ke-18 Tahun 2026 yang berlangsung di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Chan Hong Jin, berkata daripada jumlah itu, sembilan belia Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya menamatkan latihan kemahiran menerusi Program Latihan Kemahiran Belia Autisme dan Berkeperluan Khas selama enam bulan.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan KBS dalam memperluas akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran secara inklusif bagi golongan belia supaya tiada yang tercicir daripada arus pembangunan modal insan negara.

“Konvokesyen ini bukan sekadar meraikan penerimaan diploma atau sijil, tetapi menjadi lambang kejayaan hasil usaha, pengorbanan dan ketabahan para graduan sepanjang mengikuti pengajian di IKBN Miri,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Chan berkata, dunia pekerjaan kini berubah dengan pantas susulan kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi. Justeru, tenaga kerja perlu memiliki kemahiran tinggi serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Sehubungan itu, katanya, KBS terus memperkukuh pelaksanaan TVET 2.0 menerusi kerjasama lebih erat dengan industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan semasa.

GRADUAN… Seorang graduan menerima sijil daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Chan Hong Jin pada Istiadat Konvokesyen IKBN Miri Ke-18 Tahun 2026 di Miri, hari ini.

“Sehingga kini, KBS telah memeterai 180 jalinan kerjasama, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), bersama rakan strategik industri daripada pelbagai bidang yang masih aktif.

“Kerjasama ini menjadi pemangkin kepada latihan yang lebih berkualiti, berorientasikan industri dan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan ILKBS,” katanya.

Chan berkata, IKBN Miri terus memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat TVET yang berkemahiran, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

Beliau yakin dengan sokongan kerajaan, komitmen warga IKBN Miri serta kerjasama erat dengan pihak industri, institusi itu mampu terus menjadi antara institusi TVET pilihan dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Chan mengingatkan graduan bahawa konvokesyen bukan penamat kepada pembelajaran, sebaliknya permulaan kepada perjalanan baharu yang menuntut mereka terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan menguasai teknologi baharu.

Beliau turut menekankan kepentingan nilai integriti, disiplin, amanah, profesionalisme, semangat kerja berpasukan dan rasa tanggungjawab dalam membina kepercayaan majikan serta masyarakat.

Beliau kemudian merasmikan Istiadat Konvokesyen IKBN Miri, Sarawak Ke-18 Tahun 2026 dan menyeru para graduan supaya membawa nama baik IKBN Miri serta terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Oleh Liong Chai Ling