256 pasukan sertai NRC 2026, bukti STEM Sarawak semakin berkembang

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH…SK St Kevin Sg. Kut, Dalat menjuarai kategori Robomission Jr. Sekolah Rendah pada National Robotics Competition (NRC) Peringkat Negeri Sarawak 2026 di SMK Methodist hari ini.

SIBU: Penyertaan sebanyak 256 pasukan dalam Pertandingan Robotik Nasional (NRC) Peringkat Negeri Sarawak 2026 membuktikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak terus berkembang hasil pelbagai inisiatif pembangunan bakat yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, jumlah itu merupakan penyertaan tertinggi pernah direkodkan di Sarawak, meningkat daripada 174 pasukan tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan tersebut meletakkan Sarawak di kedudukan ketiga tertinggi dari segi penyertaan selepas Selangor dan Pulau Pinang.

“Robotik bukan lagi sekadar membina robot, sebaliknya menjadi platform melahirkan generasi yang kreatif, inovatif, mampu menyelesaikan masalah serta bersedia menghadapi keperluan tenaga kerja masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Caroline Cleophas Joseph pada majlis penutupan NRC Peringkat Negeri Sarawak 2026 di SMK Methodist, di sini, hari ini.

Sagah berkata, peningkatan penyertaan itu didorong Program Pembangunan NRC yang diperkenalkan pada 2025 hasil kerjasama MEITD Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Katanya, program tersebut bermula dengan 30 sekolah perintis yang dibekalkan kit robotik LEGO serta latihan berstruktur sebelum diperluaskan kepada 60 lagi sekolah di seluruh Sarawak, sekali gus mencatat kadar pertumbuhan penyertaan tertinggi di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan Sarawak turut memperkenalkan inisiatif STEM Icon Sarawakbagi mengiktiraf murid sekolah rendah, sekolah menengah serta guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang STEM.

“Penerima pengiktirafan akan menerima hadiah wang tunai, sijil dan plak penghargaan sebagai galakan untuk terus cemerlang serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai warga pendidikan,” ujarnya.

Beliau turut mengimbas kejayaan Sarawak muncul juara keseluruhan kebangsaan sebanyak 10 kali sepanjang tempoh 2014 hingga 2025, selain kejayaan SMK Chung Hua Miri membantu Malaysia muncul juara keseluruhan World Robot Olympiad Finals 2025 menerusi dua gelaran juara dan satu naib juara.

Sehubungan itu, beliau berharap pencapaian berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih banyak sekolah, guru dan pelajar untuk menceburi bidang robotik dan STEM, sekali gus memperkukuh hasrat Sarawak menjadi tuan rumah World Robot Olympiad 2027.

Oleh Tarani Lanting