
SIBU: Seramai 25,000 pengunjung membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I di sini bagi memeriahkan penganjuran Lan Berambeh Sungkei edisi kelapan yang berlangsung hari ini.
Hujan lebat yang melanda pada sebelah petang tidak mematahkan semangat orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk hadir memeriahkan program berbuka puasa berkenaan.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, sasaran kehadiran pengunjung berjaya dicapai dengan jumlah kehadiran yang terus meningkat sehingga memenuhi kawasan dataran tersebut.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kita dapat lihat orang ramai terus datang dan suasana di sini sangat meriah,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan program tersebut turut disokong oleh penglibatan pelbagai agensi kerajaan, jabatan, kelab serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menjayakan penganjuran acara itu.
Menurutnya, setiap pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan program dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan tersusun.
“Kerjasama daripada ketua-ketua jabatan, kelab serta pelbagai agensi kerajaan membolehkan program ini dijalankan dengan baik. Malah setiap kelab turut menyumbangkan makanan untuk diagihkan kepada orang ramai yang hadir,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membuat liputan program berkenaan memandangkan Sibu menjadi lokasi penutup bagi Jelajah Ramadan di Sarawak tahun ini.
Program berkenaan turut menerima kehadiran tetamu dari Brunei, Kalimantan serta beberapa bahagian lain di Sarawak.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Abang Mohamad berkata, pihaknya bercadang menjadikan program tersebut sebagai salah satu produk pelancongan di Bahagian Sibu.
“Cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan melalui menterinya Dato Abdul Karim Rahman Hamzah bagi memperluaskan lagi penganjuran program tersebut pada masa akan datang,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting