
SIBU: Seramai 25,000 pengunjung disasarkan menghadiri Lan Berambeh Sungkei 2026 Bahagian Sibu Edisi Kelapan yang akan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I pada 7 Mac ini.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, program tersebut akan bermula seawal 4.00 petang dan dijangka berlangsung lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, program itu mula dilaksanakan pada 2017 sebagai edisi pertama, namun tidak dapat dianjurkan pada 2020 dan 2021 susulan pandemik COVID-19.
“Bagi edisi kali ini, kami menyasarkan penyertaan seramai 25,000 peserta berbanding lebih 20,000 peserta yang direkodkan pada edisi ketujuh tahun lalu, manakala edisi keenam pada 2024 mencatatkan kehadiran lebih 15,000 peserta,” katanya pada sidang media hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka serta Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak (RTM Sarawak).
Abang Mohamad berkata, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka hadir bagi merasmikan program tersebut.
“Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee yang juga pelopor serta penaung program ini turut dijangka hadir,” katanya.
Katanya, penganjuran program tahunan itu berpotensi menarik kehadiran pengunjung dari daerah dan negeri lain, termasuk negara jiran seperti Indonesia dan Brunei, sekali gus mempromosikan budaya toleransi serta perpaduan masyarakat Sarawak.
Selain itu, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan program tersebut, antaranya Pertandingan Bedil bermula 4.00 petang, Pertandingan Teter Beduk, Pertandingan Busana, Program Quran Hours, gerai Ramadan, Majlis Sumbangan Asnaf serta Jualan Rahmah.
Turut hadir Pegawai Kanan Pejabat Residen Sibu, Nursyarmilla Jeruis, Pengurus RTM Sibu, Nur Aida Kemilia Jamie Abdullah, Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Sibu, Betty Tuko, Pegawai Agama Islam Bahagian Sibu, Rafeah Buang serta yang lain.
Oleh Akun Giman