
SIBU: Sebanyak 2,500 pek Milo seberat 900 gram diagihkan kepada pengundi lelaki di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek bermula hari ini, sempena sambutan Hari Bapa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, berkata ia sebagai tanda penghargaan kepada golongan bapa atas jasa dan pengorbanan mereka terhadap keluarga serta masyarakat.
“Hari ini secara rasminya merupakan permulaan sambutan Hari Bapa kami, yang sepatutnya disambut pada 8 Ogos.
“Sepanjang dua minggu program ini, kami akan mengedarkan satu pek Milo kepada setiap pengundi lelaki sebagai simbol penghargaan ikhlas kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Chieng, sambutan masyarakat terhadap program itu amat menggalakkan, dengan lebih 250 individu hadir dalam tempoh sejam pertama agihan dilakukan pagi tadi.
“Pada tahun lalu, kita hanya mengagihkan 2,000 pek. Melihat kepada sambutan positif, jumlah itu ditambah kepada 2,500 pek pada tahun ini.
“Kehadiran ramai termasuk wajah baharu mencerminkan semangat komuniti yang semakin kukuh dalam kalangan penduduk Bukit Assek,” katanya.
Beliau berkata agihan akan diteruskan setiap hari dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Pusat Khidmat ADUN Bukit Assek sepanjang tempoh program yang berlangsung hingga 17 Ogos ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pengundi lelaki yang belum menerima sumbangan agar hadir ke pusat agihan sebelum program berakhir.
“Sebagai wakil rakyat, kami sentiasa berusaha menjalin hubungan rapat dengan penduduk, dan inisiatif seperti ini adalah antara cara kami menunjukkan penghargaan, khususnya kepada para bapa,” tambahnya
Program tahunan itu dianjurkan Pusat Khidmat ADUN Bukit Assek dengan kerjasama 15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Oleh Tarani Lanting