
BINTULU: Seramai 250 peserta menyertai Program Putra Bakti: Satu Suara Satu Budaya di Rumah Jimun Dideng, Ulu Sebauh, baru-baru ini bagi mengeratkan hubungan antara Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan komuniti rumah panjang.
Menurut kenyataan UPMS, program anjuran pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 4) itu diadakan sempena Citra Tari Nusantara 2025 (CTN2025), yang menghimpunkan penyertaan universiti dari Malaysia dan Indonesia dalam usaha memperkukuh jaringan seni budaya serantau.
Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, bengkel tarian Ngajat, bengkel muzik tradisional Iban, kraf tangan, serta masakan tradisional Sarawak termasuk ayam pansuh dan kuih penyaram.
Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai adat resam masyarakat Iban serta kehidupan di rumah panjang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, yang menekankan kepentingan program seumpama ini dalam memelihara warisan budaya Sarawak dan mewariskannya kepada generasi muda.
UPMS menyifatkan program ini sebagai platform penting bagi meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap adat resam masyarakat Iban, selain menyemai semangat perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Turut hadir Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS yang juga Pengerusi CTN2025, Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan, Tuai Rumah Jimun Dideng, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPMS yang juga Pengarah Program CTN2025, Siti Rajanah Abdul Aziz, Penghulu Meikle Ding serta Fasilitator Khas Kokurikulum Berkredit yang juga Pengerusi CTN2025, Fakhzan Buang.
Oleh Carolyne Utih