SIMANGGANG, 27 Oktober: Seramai 250 peserta menghadiri Program Sarawak Kita Empun (SKE) dan Persediaan Pilihan Raya bagi memperkukuh pemahaman mengenai inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta menyelaras kesiapsiagaan jentera menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13), semalam.
Program anjuran DUN Lingga itu menghimpunkan jentera daripada tiga cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu Lingga, Bukit Begunan dan Simanggang, dengan fokus kepada penguasaan maklumat dasar kerajaan, pemantapan organisasi serta persediaan menghadapi pilihan raya.
Empat slot ceramah disampaikan sepanjang program berkenaan, bermula dengan Inisiatif GPS oleh Natasha Nasa Uggah, diikuti Pemantapan Struktur dan Peranan Jentera SKU oleh Sulhie Salleh.
Dua lagi slot, iaitu Persediaan Pilihan Raya serta Peranan dan Tanggungjawab Petugas Ejen Mengundi dan Ejen Mengira (PACA), disampaikan oleh Datu Takun Sunggah.
Pengisian tersebut menekankan kepentingan membentuk jentera yang berpengetahuan, tersusun dan mampu menyampaikan maklumat secara tepat kepada masyarakat, khususnya berkaitan dasar kerajaan serta inisiatif pembangunan yang dilaksanakan di Sarawak.
Aspek pendidikan dan pembangunan modal insan turut diberi perhatian, termasuk usaha memperluas peluang pendidikan, meningkatkan akses kepada pembelajaran berkualiti serta membangunkan potensi generasi muda bagi menyokong masa depan negeri.
Dalam konteks itu, jentera di peringkat akar umbi berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, malah memahami aspirasi serta keperluan masyarakat setempat.
Penyertaan tiga cawangan PBB dalam program tersebut turut memberi ruang kepada penyelarasan organisasi dan gerak kerja di peringkat akar umbi.
Cawangan Lingga melibatkan 27 ranting merangkumi sayap Bapa, Pemuda dan Wanita, manakala Bukit Begunan melibatkan keseluruhan cawangan serta rantingnya. Cawangan Simanggang turut mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Majlis penangguhan program disempurnakan oleh Naib Presiden PBB Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Turut hadir Ketua Cawangan PBB Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Ketua Cawangan PBB Simanggang, Mohamad Shafizan Kepli; serta Ketua Cawangan PBB Bukit Begunan, Kaunselor Anthony Abell.
Program berkenaan menjadi platform untuk memperkukuh pengetahuan, penyelarasan organisasi dan pemahaman mengenai inisiatif kerajaan dalam kalangan peserta, sekali gus mempersiapkan jentera menghadapi PRN13 serta meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Oleh Adi Safarman



