Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • 250 pelatih wanita lapor diri di Kem 515 AW, 12 diberi pelepasan mengundi
  • NASIONAL

250 pelatih wanita lapor diri di Kem 515 AW, 12 diberi pelepasan mengundi

Utusan Sarawak 5 hours ago
ANTARA para pelatih yang datang mendaftar pada pendaftaran wira muda negara siri 3/2026 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) di Kem Wataniah 515 hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 250 pelatih wanita dari seluruh negara mula melaporkan diri bagi mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2026 di Kem 515 Askar Wataniah (AW) di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Dasar, Jabatan Latihan Khidmat Negara Kolonel Abd Rani Abdul Majid berkata daripada jumlah itu, 12 pelatih diberikan pelepasan khas untuk melapor diri esok bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

“Pendaftaran hari ini melibatkan keutamaan peserta dari zon tengah seperti Melaka dan Negeri Sembilan, selain kita turut menerima integrasi pelatih dari Sabah serta Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pendaftaran di kem berkenaan.

Beliau berkata PLKN 3.0 memberi penekanan kepada modul latihan komprehensif yang merangkumi 70 peratus latihan ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan, bagi membentuk jati diri generasi muda.

Dalam pada itu, tinjauan di pusat pendaftaran seawal 8 pagi mendapati, rata-rata pelatih bersama dengan ahli keluarga teruja dan memberikan reaksi positif, terutamanya mengenai pengisian program yang bermanfaat sepanjang tempoh 45 hari latihan.

ANTARA para pelatih yang hadir pada pendaftaran wira muda negara siri 3/2026 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) di Kem Wataniah 515 hari ini. Foto BERNAMA

Seorang bapa Wan Aminuddin Wan Ismail berkata penempatan itu, membuka cabaran baharu buat anaknya Wan Rabiatul Adawiyah, 18, yang sebelum ini tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

“Saya melihat PLKN satu platform terbaik, terutamanya untuk mendidik generasi muda cara menjaga keamanan negara dan mungkin juga asas kesukarelawanan,” katanya.

Remaja kelahiran Sandakan, Sabah Auni Alisya Safwana Safaruddin, 18, yang mendaftar secara sukarela pula, optimis untuk menyertai pelbagai aktiviti mencabar.

“Ini memang kali pertama saya datang dari jauh. Agak gementar, tetapi saya harap dapat belajar budaya baharu dan cara kehidupan ketenteraan di sini,” katanya.

Esther Hiew Ru Xuan, 18, pelatih dari Semenyih, Selangor, pula berharap program itu menjadi platform membina jati diri, sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya sedia untuk tempuhi cabaran ala tentera ini, harapnya saya dapat bentuk sifat disiplin dan bina semangat yang lebih kuat,” katanya.

Pendaftaran pelatih PLKN 3.0 Siri 3/2026 turut dilaksanakan secara serentak di dua lagi lokasi iaitu kem wanita di Kem 504 AW, Bukit Keteri di Kangar, Perlis dan kem lelaki di Kem 505 AW, Pekan di Pahang. – Bernama

Continue Reading

Previous: PRN Johor: Kadar keluar mengundi cecah 26.43 peratus setakat 11.00 pagi – Pengerusi SPR
Next: Malaysia Airlines umum pembatalan tambahan penerbangan akibat Taufan Bavi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.