
MIRI: Sebanyak 25 saman dikeluarkan dalam Op Motosikal yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di beberapa lokasi sekitar bandar ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan pada 13 Mac bermula 10.30 malam hingga 14 Mac jam 2.00 pagi itu dilaksanakan di Jalan Piasau, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina dan Jalan Tanjong Lobang.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan orang awam berhubung aktiviti motosikal yang mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam di kawasan terbabit.

“Seramai 18 individu terdiri daripada 15 lelaki dan tiga perempuan telah diperiksa bersama 15 buah motosikal dalam operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan termasuk tiada lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, ubah suai ekzos, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta penggunaan nombor pendaftaran diubah suai,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri.
Mohd Farhan berkata, beberapa kesalahan lain turut dikesan melibatkan pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi asal.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan menunggang secara berhemah bagi mengelakkan kemalangan serta tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.
Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak mengubah suai struktur asal kenderaan atau menghasilkan bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Oleh Liong Chai Ling