25 peserta diberi pendedahan pencegahan kebakaran di Ladang Rakyat FELCRA

Facebook
WhatsApp
MAHMUDIN Narudin, menyerahkan risalah kepada peserta. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Seramai 25 peserta di Ladang Rakyat FELCRA Berhad, Muara Bunut, diberi pendedahan mengenai langkah pencegahan kebakaran, termasuk kaedah menangani kebakaran di dapur, menerusi program kesedaran keselamatan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program yang bermula 9.00 pagi tersebut dikendalikan beliau bersama dua anggota bomba.

Katanya, program berkenaan memberi penekanan kepada pengetahuan asas mengenai risiko kebakaran serta langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Peserta diberikan ceramah kesedaran dan pencegahan kebakaran, selain diperkenalkan dengan alat pemadam api serta tatacara penggunaannya.

“Pendedahan secara praktikal turut diberikan supaya peserta bukan sahaja memahami aspek teori, malah mengetahui tindakan yang betul sekiranya berdepan situasi kebakaran.

ANTARA pengisian program kesedaran keselamatan yang dijalankan di Ladang Rakyat FELCRA Berhad, Muara Bunut. Foto BBP Bintangor

“Demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api turut dijalankan, termasuk demonstrasi menangani kebakaran yang melibatkan dapur memasak,” katanya ketika dihubungi.

Mahmudin berkata, pengetahuan mengenai penggunaan alat pemadam api dengan betul penting bagi membolehkan tindakan awal dilakukan dengan selamat sebelum kebakaran menjadi lebih besar dan sukar dikawal.

Pada masa sama, aspek pencegahan pembakaran terbuka turut diberi perhatian dengan risalah berkaitan perkara itu diedarkan kepada peserta.

“Risalah ‘Mencegah Pembakaran Terbuka’ turut diserahkan bagi meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan mengelakkan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran.

“Program seperti ini penting dalam membudayakan aspek keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat, khususnya dengan memberikan pengetahuan asas mengenai pencegahan dan tindakan awal ketika berlaku kecemasan,” katanya.

Oleh Earl Anek