
MARUDI: Ekspo Pendidikan Sarawak ialah inisiatif strategik untuk meningkatkan kesedaran pelajar lepasan SPM dan STPM tentang pelbagai peluang pendidikan, penajaan dan bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan Sarawak.
Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau berkata, program ini turut merangkumi aktiviti seperti sesi kaunseling, pendaftaran kemasukan ke institusi pengajian, pendedahan kepada bantuan pendidikan, serta promosi pendidikan teknikal dan vokasional.
Selain itu, katanya, program ini menggabungkan komponen Hari Kerjaya dan Program Kesedaran Pendidikan bagi memastikan penglibatan menyeluruh pelajar, guru, ibu bapa serta komuniti setempat.
“Antara objektif utama penganjuran Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Baram tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang pendidikan dan penajaan yang ditawarkan oleh kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata, program ini juga menjadi platform interaktif antara pelajar, institusi pengajian dan agensi penaja, di samping menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti dalam membentuk masa depan pendidikan anak-anak.
“Hasrat kami adalah agar program ini dapat menyediakan bimbingan dan maklumat secara bersemuka kepada pelajar, di samping membantu mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan kemasukan dan pinjaman pengajian daripada Yayasan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Baram yang berlangsung di Dewan SJK (C) Chung Hua, di sini, semalam.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.
Menurut Matthew, Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Baram 2025 menyasarkan pelajar lepasan SPM dan STPM 2024, pelajar Tingkatan 5, guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta orang awam.
Dalam majlis tersebut, seramai 25 pelajar cemerlang SPM dan STPM 2024 turut menerima hadiah penghargaan daripada Yayasan Sarawak.
Matthew berharap kejayaan pelajar-pelajar terbabit akan menjadi inspirasi dan pendorong kepada calon-calon SPM dan STPM tahun ini serta pada tahun-tahun seterusnya.
Oleh Jiku Juguong