
SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab telah menyumbangkan peruntukan kewangan untuk menjalankan ibadah korban kepada 25 buah masjid dan enam buah surau di kawasan P.206 Tanjong Manis dengan jumlah keseluruhan RM84,000.
Katanya, setiap masjid disumbangkan sebanyak RM3,000, manakala setiap surau di kawasan tersebut menerima sebanyak RM1,500.
“Ini adalah untuk pengurusan pihak masjid dan surau dalam menjalankan aktiviti untuk ibadah korban ataupun aktiviti-aktiviti lain selepas Hari Raya Korban.
“Ini akan membantu sedikit perbelanjaan pihak masjid dan surau,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian Majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei bertempat di pekarangan Masjid Al-Muttaqin, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan naik taraf lapangan terbang Tanjung Manis semasa lawatan ke Tanjung Manis, baru-baru ini.
“Sekarang ini, lapangan terbang Tanjung Manis hanya dapat menampung pesawat jenis “twin otter”….ia akan dinaik taraf sekurang-kurangnya dapat menampung pesawat jenis ATR 72.
“Jadi, ini bermakna, kawasan Tanjung Manis dan Sarikei berkembang di masa akan datang serta akan menggalakkan lebih ramai lagi pelabur untuk datang.
“Pelabur memerlukan sistem pengangkutan yang cekap, sebab itulah kita memerlukan sebuah lapangan terbang yang lebih besar, bersesuaian juga dengan pelabuhan yang mungkin ditambah baik lagi dengan kerja-kerja pengorekkan yang mungkin akan dijalankan,” katanya.
Tambahnya, ia akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan Tanjung Manis dari segi import dan eksport barangan.
Oleh Earl Anek