
BINTANGOR: Sebanyak 25 jalan dan jambatan di kawasan luar bandar telah diluluskan untuk kerja-kerja menaik taraf di bawah Projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) 2026 bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keselamatan pengguna jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek tersebut melibatkan beberapa kawasan kampung dan rumah panjang di sekitar DUN Meradong di bawah seliaan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).
“Projek ini amat penting bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya selain memperbaiki sistem perhubungan penduduk di kawasan pedalaman,” katanya ketika mengadakan lawatan meninjau beberapa jalan dan jambatan yang dikenal pasti untuk dinaik taraf, baru-baru ini.


Katanya, lawatan tersebut bertujuan memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar demi memberikan keselesaan dan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk setempat.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memperkasakan pembangunan luar bandar supaya rakyat dapat menikmati kemudahan asas yang lebih sempurna dan selesa.
“Pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar termasuk memperkukuh jaringan perhubungan dan merancakkan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.
Semasa lawatan, Koung Hiing turut meneliti keadaan semasa jalan dan jambatan yang uzur selain mendengar sendiri pandangan serta keperluan penduduk berkaitan kemudahan infrastruktur yang memerlukan perhatian segera.
“Kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan rakyat khususnya berkaitan kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Chieng Buong Ong; Penolong Jurutera MDMJ, Husin Onn Jateng; Pemanca Yii Hee Sieng dan Kapitan Chieng Nuong Ting.
Oleh Earl Anek