
PULAU BRUIT: Sebanyak 2,486 pintu rumah di kawasan Semop menerima agihan daging korban sempena sambutan Aidiladha 1446H, dalam satu majlis simbolik yang berlangsung serentak di Dewan Masyarakat Kampung Semop dan Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, hari ini.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol.
Menurut beliau ketika ditemui, agihan tahun ini melibatkan 16 buah kampung di kawasan utara DUN Semop, hasil daripada pembelian kira-kira 5,000 kilogram daging lembu korban.
Ujarnya, program ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, tetapi juga menjadi wadah menyantuni masyarakat setempat, khususnya golongan kurang berkemampuan.
“Setelah dibawa berbincang bersama KMKK Pulau Bruit yang diketuai oleh Pemanca telah bersetuju sebulat suara pada tahun ini supaya mengagihkan daging lembu di setiap rumah yang sebanyak 2486 penerima melibatkan 16 buah kampung di sebelah utara DUN N42 Semop yang melibatkan jumlah pembelian 5000kg daging lembu. “Manakala perkampungan di sebelah Bintangor dalam kawasan Semop, empat ekor lembu korban telah dibeli untuk dua masjid dan dua surau di kawasan tersebut,” jelasnya. -UKAS