Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • 248 Bas ekspres di Sarawak terima sijil PPP-JPJ
  • TEMPATAN

248 Bas ekspres di Sarawak terima sijil PPP-JPJ

Utusan Sarawak 1 day ago
BALIK KAMPUNG… Kelihatan pengguna bas sedang menunggu giliran untuk menaiki bas. Foto: Norman B

KUCHING: Sebanyak 248 bas ekspres yang beroperasi di tiga terminal utama di Sarawak telah diberikan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.

Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata jumlah itu merupakan hasil pelaksanaan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan sempena musim perayaan 2025, yang berlangsung selama seminggu dan berakhir semalam.

Beliau berkata sijil PPP hanya dikeluarkan kepada kenderaan yang melepasi pemeriksaan keselamatan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.

“Tiada kompaun dikenakan hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan ke atas kenderaan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi penguatkuasaan di Terminal Bas Kuching Sentral malam ini.

Selain di Kuching, dua lagi terminal bas utama di Sarawak ialah di Sibu dan Miri. 

Norizan berkata bas yang tidak memiliki sijil PPP tidak dibenarkan beroperasi dan boleh dikenakan tindakan, termasuk penahanan serta penyitaan kenderaan.

“Jika didapati terdapat kekurangan seperti tayar tidak sempurna, pemilik perlu menggantikannya terlebih dahulu sebelum kenderaan dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menurut beliau, operasi khas itu membabitkan penyertaan 105 anggota JPJ Sarawak sebagai langkah mempertingkat keselamatan penumpang sempena sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, dianggarkan seramai 2,000 penumpang menggunakan perkhidmatan bas setiap hari melalui Terminal Bas Kuching Sentral untuk ke destinasi di seluruh Sarawak menjelang musim perayaan.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama JPJ Sarawak, LPKP Sarawak dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

-Bernama

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: JPJ galak aduan salah laku pemandu, fokus keselamatan musim Gawai
Next: Penghormatan kepada Dayak: Dataran Khas dicadang berhampiran Kubu Silvia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.