
DEBAK: Seramai 24,101 penerima bantuan dari seluruh bahagian negeri ini akan menerima bantuan Sejambak Kasih Gawai Dayak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata JKM Sarawak telah melaksanakan pemberian wang sumbangan sebanyak RM100 dan hamper perayaan berjumlah RM80 kepada penerima bantuan sejak lebih daripada 20 tahun lalu.
“Bahagian Sri Aman merekodkan jumlah penerima bantuan tertinggi Sejambak Kasih Gawai Dayak tahun ini dengan 4,359 penerima diikuti Bahagian Kuching (2,896 penerima) dan Bahagian Kapit di tempat ketiga dengan 2,878 penerima.
“Selain itu, Bahagian Sibu (2,871), Betong (2,376), Serian (2,176), Sarikei (1,673), Bintulu (1,362), Miri (1,134), Samarahan (993), Mukah (819) dan Limbang (564). Keseluruhan penerima bantuan adalah berjumlah 24,101,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak 2025 Bahagian Betong di Rumah Panjang Gara Tindin, Blassau Debak, hari ini.
Razi berkata tujuan pemberian wang sumbangan dan hamper perayaan ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan penerima bantuan dalam membuat persediaan bagi menyambut perayaan yang akan diraikan.
Selain itu katanya, meraikan golongan atau kumpulan sasar yang kurang berkemampuan bagi merasai suasana sesuatu perayaan, serta mengeratkan hubungan dan silaturahim antara pihak JKM dan penerima bantuan.
“Inisiatif ini merupakan antara aktiviti tahunan JKM Sarawak dalam meringankan dan memudahkan persiapan penerima bantuan dalam membuat persediaan menyambut perayaan Hari Gawai Dayak akan datang.
“Kerajaan melalui JKM sentiasa berusaha menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan sasar, bantuan ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban tetapi juga sebagai tanda sokongan moral agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Selain sumbangan Hari Gawai Dayak turut disampaikan pada majlis tersebut iaitu Bantuan Ihsan Kematian, Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Perubatan dan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut berharap penerima bantuan ini memanfaatkan bantuan tersebut dengan bijaksana, dan jadikan ia sebagai dorongan untuk berusaha memperbaiki taraf kehidupan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Abdul Shamat Kasim, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohd Khairurani Mohd Ibrahim dan Temenggung Piee Alwi.
Oleh Adi Safarman