SIBU: Seramai 2,400 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam acara larian’Rakyat Sihat, Sarawakku Makmur’ sempena meraikan 60 tahun Sarawak Merdeka.
Acara anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu dijadualkan bermula jam 6 pagi di Dataran Tun Tuanku Bujang pada 18 Jun ini.
Pengerusinya, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming berkata, acara itu anjuran bersama Pejabat Residen Sibu, Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu, Kelab X-Sports, Underground Runner dan Kelab Berbasikal Swan Sibu.
“Kita menyasarkan penyertaan awal seramai 2,000 peserta dan tidak menjangka sambutan baik orang ramai dalam acara larian ini,” jelasnya pada sidang media hari ini.
Beliau memberitahu, dua kategori larian iaitu 3km dan 5km dan semua peserta yang berjaya menamatkan larian akan mendapat medal dan layak untuk cabutan bertuah.
“Lima hadiah utama menanti mereka yang bertuah dengan hadiah pertama sebuah basikal bernilai RM2,200 dan 15 hadiah hamper,” ujarnya.
Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Lau turut berterima kasih semua pihak dan syarikat perniagaan atas sokongan kewangan bagi menjayakan acara larian dan memastikan program berjalan lancar.
Sementara itu, para peserta diminta datang mengambil baju T larian di alamat No.6, Tingkat 1, Lorong Tapang Timur 1, Sg. Antu pada Isnin (12 Jun) dan Selasa (13 Jun) dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Oleh AKUN GIMAN