

SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri memaklumkan sebanyak 24 projek rakyat telah dimuktamadkan untuk dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Antara projek utama yang bakal memberi impak besar kepada penduduk ialah pembinaan jalan perhubungan baharu daripada Rumah Panjang Senyawan ke jalan masuk Saratok, melibatkan kos RM38.5 juta.
Menurut beliau, projek berkenaan telah diluluskan dalam mesyuarat pada 30 September lalu dan akan ditender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Disember ini.
“Pada 9 Oktober ini, satu sesi libat urus bersama semua pemilik tanah akan diadakan bagi membincangkan pembayaran pampasan. Selepas semua pampasan dibayar, kita jangka projek dapat ditender menjelang Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Pertandingan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Al-Muhtadin, di sini semalam.
Mohamad Duri menjelaskan, pembinaan jalan itu amat penting kerana ia akan menghubungkan dua kawasan tanah perkuburan baharu yang sebelum ini hanya boleh diakses melalui sungai.
“Apabila jalan ini siap, kedua-dua kawasan tanah perkuburan baharu yang dibeli oleh pihak Lembaga Amanah Kemajuan Islam Saratok (LAKIS) akan dapat dihubungi melalui jalan darat. Ia juga akan memendekkan perjalanan dari Rumah Panjang Senyawan ke Saratok sejauh sekitar 3.7 kilometer,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua projek yang telah diluluskan melalui proses tender akan dilaksanakan dalam masa terdekat demi manfaat penduduk pelbagai kaum di kawasan itu.
Selain projek jalan, beliau turut mengumumkan bahawa projek Tebingan Saratok yang sekian lama dinantikan penduduk akan ditender pada tahun baharu.
“Peruntukan sebanyak RM200 juta untuk setiap ADUN digunakan sebaiknya bagi menaik taraf jalan pertanian, ban, pintu air serta kemudahan asas lain. Antara yang akan ditender bulan ini ialah projek menaik taraf pintu air di Kampung Pagan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri berkata satu lagi projek penting ialah pembinaan talian grid 33 kilovolt (KV) baharu dari Kampung Kaba ke Simpang Nyabor, bagi meningkatkan bekalan elektrik di kawasan luar bandar.
“Projek ini akan memastikan bekalan elektrik di Kampung Kaba, Kampung Perpat, Lubok Nibong dan sekitar tujuh rumah panjang tidak terputus, kerana kita akan ada bekalan sokongan daripada Pusa sekiranya bekalan dari Sarikei terjejas,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa pada Persidangan DUN November ini, beliau akan memohon projek tambahan bagi menyambung monopole 33,000kV dari Sub-Stesen Serudit ke Saratok, yang akan menambah kepada empat punca bekalan elektrik ke kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut mengumumkan bantuan RM20,000 bagi kerja penyelenggaraan Masjid Al-Muhtadin serta menunggu laporan JKR untuk pelaksanaan projek pembinaan menara masjid, stor dan pintu kecemasan imam yang telah diluluskan reka bentuknya.
“Saya juga berharap permohonan menaik taraf Masjid Al-Muhtadin akan mendapat kelulusan Premier Sarawak dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap sen peruntukan digunakan dengan seadil-adilnya bagi memastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Kalaka.
Oleh Adi Safarman