
LIMBANG: Program Pertanian Moden Lestari Melalui Teknousahawan Luar Bandar (SMART) Siri 2 berjaya melabuhkan tirai dengan penuh bermakna di Hotel Purnama, di sini, hari ini.
Program anjuran Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) dengan kerjasama Sarawak Skills itu berlangsung sepanjang sebulan bermula 21 Julai lalu, melibatkan penyertaan 24 peserta dari komuniti tempatan.

Sepanjang program, peserta diberi latihan intensif dalam bidang pertanian pintar, pembangunan keusahawanan serta kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sekali gus meningkatkan kapasiti serta daya saing mereka dalam era digital masa kini.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Wilayah M-FICORD, Hilma Rejer dan beliau turut menekankan kepentingan program tersebut sebagai langkah penting bagi mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Program SMART bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi juga mengubah cara kita mendekati bidang pertanian agar lebih cekap dan mampan.

“Dengan ilmu dan kemahiran yang betul, komuniti luar bandar mampu memanfaatkan inovasi untuk meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Sarawak Skills, Mohamad Isham Fauzi, yang menyampaikan ucapan secara dalam talian, mengucapkan tahniah kepada semua peserta.
Beliau menyifatkan program ini sebagai pemangkin kepada inovasi serta transformasi sosioekonomi di kawasan luar bandar Sarawak.
Beliau turut mengumumkan bahawa Program SMART Siri 3 akan diadakan di Miri dalam masa terdekat, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan agropreneur berdaya saing selaras dengan aspirasi PCDS 2030.
Antara yang menyerikan majlis penutupan ialah penyampaian sijil penyertaan kepada peserta serta paparan sesi praktikal sepanjang program, yang menggambarkan kesungguhan peserta dalam memanfaatkan peluang pembelajaran tersebut.