SIMANGGANG: Sejumlah 24 pertubuhan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang telah menerima cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM68,000.
Kesemua cek MRP berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Simanggang di sini baru-baru ini.
Harden ketika berucap ringkas pada majlis itu berkata, peruntukan itu disalurkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui wakil rakyat mereka untuk membantu pertubuhan berkenaan membiayai pelaksanaan aktiviti masing-masing.
“Pertubuhan ini mengajukan permohonan untuk mendapatkan bantuan kepada saya sebagai ADUN Simanggang dengan kerajaan GPS yang prihatin kemudiannya bertindak menyediakan peruntukan tersebut untuk mereka.
“Saya akan terus mempertimbangkan penyaluran MRP berdasarkan keperluan semasa pertubuhan yang merangka aktiviti demi kebaikan komuniti mereka itu, di samping membantu kerajaan merealisasikan sistem penyampaian perkhidmatan di sini,” katanya.
Sementara itu, rata-rata wakil pertubuhan yang menerima cek peruntukan MRP pada majlis berkenaan berpendapat bahawa Kerajaan GPS amnya, dan Harden khasnya, sentiasa memikirkan masalah rakyat di kawasan itu dan bertindak membantu mereka.
Mereka juga berpendapat rumah panjang dan kampung dalam DUN Simanggang amat bernasib baik kerana sudah dihubungkan dengan jalan raya, kemudahan bekalan elektrik dan bekalan air.
“Justeru, saya berharap agar rakyat DUN Simanggang berhati-hati mendengar dakyah daripada kumpulan individu yang rakus dan sebaliknya fokus memberi sokongan terhadap GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang,” kata Harden.
Oleh VALENTINE NGUMBANG