Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 24 KIR terima bantuan peralatan RM120,000 melalui Program Sejahtera MADANI
  • Tengah
  • WILAYAH

24 KIR terima bantuan peralatan RM120,000 melalui Program Sejahtera MADANI

Utusan Sarawak 7 hours ago
MOHAMAD Duri semasa merasmikan Program Sejahtera Madani Skop Peningkatan Pendapatan tahun 2026 bertempat di Dewan Pejabat Daerah Saratok, semalam. Foto ADUN Kalaka

​SARATOK: Seramai 24 Ketua Isi Rumah (KIR) di tiga daerah Bahagian Betong telah dipilih sebagai penerima Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Peningkatan Pendapatan 2026 bagi daerah ini.

​Program intervensi sosioekonomi berimpak tinggi ini melibatkan pemberian bantuan fizikal berupa peralatan pembuatan kuih-muih, peralatan jahitan, serta peralatan bengkel yang melibatkan implikasi kewangan secara keseluruhan sebanyak RM120,000.

​Bagi memastikan agihan dilakukan secara saksama, setiap set peralatan yang bernilai RM5,000 itu telah dibahagikan mengikut keperluan lokaliti merangkumi tiga daerah utama iaitu Daerah Saratok, Pusa dan Betong.

​Mengikut pecahan kategori bantuan, peralatan pembuatan kuih-muih merekodkan agihan tertinggi dengan 10 penerima dari Saratok dan lapan penerima dari Pusa, diikuti peralatan jahitan kepada dua penerima dari Saratok dan dua dari Pusa, manakala peralatan bengkel diserahkan kepada seorang penerima dari Saratok dan seorang dari Betong.

​Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelaksanaan program tersebut adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam menjamin tiada kelompok masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan nasional.

​Beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa prihatin dan komited untuk memandu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi pelbagai pendekatan yang holistik, menyeluruh, serta berfokus kepada kumpulan sasar yang memerlukan.

​Menitipkan pesanan buat para peserta program, beliau menegaskan bahawa situasi kemiskinan bukanlah satu warisan keturunan atau takdir mutlak yang perlu diwarisi, sebaliknya ia merupakan satu kitaran yang boleh dihentikan sekiranya ada keazaman tinggi.

​”Tuan puan sebenarnya boleh mengubah nasib keluarga masing-masing, di mana kunci utama untuk keluar daripada belenggu ini adalah menerusi landasan pendidikan, kerja keras yang berterusan, serta sokongan daripada program bantuan kerajaan yang betul,” jelas beliau ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Pejabat Daerah Saratok semalam.

​Mohamad Duri berkata, hasrat utama kerajaan dalam menyalurkan dana dan bantuan modal kerja ini adalah untuk membina keupayaan serta kemahiran jangka panjang para penerima agar mereka mampu berdikari dalam menjana ekonomi sendiri secara lestari.

“​Dari konteks kebajikan sosial pula, sumbangan peralatan ini diharap dapat bertindak sebagai pemangkin dan pemacu motivasi kepada para KIR luar bandar untuk terus berusaha melipatgandakan pendapatan keluarga ke tahap yang lebih stabil,” katanya.

​Mohamad Duri turut mengingatkan bahawa agenda membasmi kemiskinan ialah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen tiga pihak, iaitu kerajaan sebagai penyedia dasar, agensi selaku pelaksana program, manakala rakyat bertindak menggembleng peluang yang disediakan dengan penuh kesungguhan.

​Sebagai langkah susulan bagi memastikan matlamat program tercapai, bekalan bantuan peralatan tersebut perlu dijaga rapi dan dimanfaatkan sepenuhnya, manakala pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman) akan turun padang bagi memantau impak peningkatan pendapatan para penerima secara berkala.

​Langkah proaktif ini penting memandangkan statistik sistem eKasih setakat Julai 2026 menunjukkan seramai 1,831 individu berada dalam kategori Miskin di Bahagian Betong, merangkumi 573 individu di Daerah Saratok, 560 individu di Daerah Pusa, dan 262 individu di Daerah Betong yang memerlukan sokongan berterusan.

​Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah serta agensi pemberi bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat yang komited bekerjasama demi mensifarkan miskin tegar, di samping menyeru seluruh komuniti mendukung aspirasi Malaysia MADANI ke arah membina sebuah negara yang maju dan berdaya tahan.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Pemanah tempatan dipelawa sertai Pertandingan Memanah Tradisional TSI 2026
Next: APM Saratok musnahkan sarang lebah madu di Taman Muhibah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.