SIBU: Seramai 24 Orang Bebas Berlesen (OBB) dari Penjara Pusat Sibu menjalani Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena sambutan Krismas tahun ini.
Daripada jumlah itu, lapan OBB diserah kepada pihak majikan manakala 16 lagi kepada pihak keluarga.
Majlis Pelepasan Banduan Secara Berlesen Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) yang berlangsung di Dewan Kakitangan Penjara Pusat Sibu (PPS) semalam telah disempurnakan oleh Pengarah PPS Mohd Rusli Abd Rahman.
Dalam ucapannya, Mohd Rusli mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada keluarga yang bersedia memberi peluang kepada prospek serta menerima kembali ke pangkuan keluarga.
“Saya juga berterima kasih juga kepada majikan yang telah memberi peluang kepada sebahagian prospek dalam memberi latihan kerjaya serta peluang kepada mereka untuk mendapat pekerjaan.
“Adalah diharapkan lebih ramai keluarga dan majikan akan menyokong program ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berpesan kepada prospek agar mengambil peluang yang baik ini untuk kekal berubah dan tidak mengulangi lagi kesilapan yang pernah dilakukan.
Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) kali ini dilakukan sempena sambutan Hari Krismas yang akan menjelang tiba beberapa hari lagi.
Adalah diharapkan dengan pembebasan lebih awal ini akan memberi kegembiraan kepada keluarga dan juga prospek.
Turut hadir, Timbalan Pengarah PPS Mohd Hidayat Ismail, Pegawai Parol Daerah Sibu, Patrick Nuga dan Pegawai Parol Institusi Raden Abdul Muin.
Oleh Akun Giman