
SIBU: Sebanyak 24 agensi yang terlibat dalam inisiatif karbon biru meliputi kira-kira 10,000 hektar ekosistem pantai dan bakau di kawasan Tanjong Manis iaitu Serdeng dan Paloh, telah menghadiri program perundingan pihak berkepentingan dalam usaha memajukan inisiatif tersebut.
Penolong Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Hamzah Morshidi, berkata semua agensi tersebut adalah termasuk agensi kerajaan, penyelidik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama membincangkan peranan dan sokongan yang diperlukan untuk projek ini.
“Amat penting melibatkan agensi kerajaan sebelum mendekati masyarakat tempatan mengenai inisiatif tersebut,” jelasnya kepada pemberita pada program tersebut dianjurkan oleh PUSAKA dengan kerjasama Worldview Climate Solutions (WCS) di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan memulihkan hutan bakau yang terjejas sambil meningkatkan biodiversiti dan memperbaiki kehidupan masyarakat setempat.
Hamzah berkata, penduduk di kawasan itu bergantung kepada pertanian dan perikanan, namun aktiviti pembalakan dan pencerobohan yang lalu telah menjejaskan ekosistem bakau.
“Projek Karbon Biru bertujuan untuk memulihkan ekosistem ini, membolehkan hidupan liar seperti ikan lumba-lumba dan penyu kembali, di samping mewujudkan peluang untuk eko-pelancongan dan perikanan mampan.
“Kami mahu memulihkan kawasan itu bukan sahaja untuk pemuliharaan, tetapi juga untuk memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat tempatan, contohnya, pembangunan pelancongan berkaitan perikanan boleh menjana sumber pendapatan baharu,” katanya.
Inisiatif Karbon Biru merupakan sebahagian daripada projek T-Mega PUSAKA dan kini dalam peringkat perundingan dan perancangan.
Beliau memberitahu, reka bentuk projek dijangka akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan sebelum April, membuka jalan bagi pengeluaran lesen karbon dalam tempoh dua tahun.
“Apabila lesen karbon dikeluarkan, kami boleh mula menanam semula dan penambahbaikan ekosistem.
“Selepas itu, dalam masa dua hingga tiga tahun, kami boleh mula memasarkan kredit karbon ‘carbon credits’ dengan jangkaan hasil menjelang 2028 atau 2029,” katanya.
Dalam pada itu, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada program tersebut, mesyuarat itu berfungsi sebagai platform untuk komunikasi terbuka antara PUSAKA, WCS (perunding), dan pihak berkepentingan lain, membolehkan perbincangan mengenai objektif projek, garis masa dan hasil yang dijangkakan.
“Apa yang membezakan projek ini ialah pendekatan kolaboratifnya, yang membolehkan dan menggalakkan peserta berkongsi idea, bertanya soalan dan menawarkan cadangan untuk menambah baik inisiatif.
Sebelum ini, STIDC telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Worldview Climate Solutions (WCS) Malaysia Sdn Bhd.
Perkongsian itu menyokong projek Karbon Biru serupa yang tertumpu pada memulihkan hutan bakau, meningkatkan biodiversiti, dan mempromosikan ekopelancongan tempatan.
Oleh Akun Giman