
BELAGA: Seramai 23 penghuni daripada lima keluarga kehilangan tempat tinggal selepas kebakaran memusnahkan 19 unit rumah pekerja di Murum di sini, hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.00 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 358 kilometer melalui jalan ladang.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan 19 pintu rumah pekerja telah terbakar 100 peratus.
“Bagaimanapun, kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Difahamkan, struktur bangunan dan keluasan kawasan terjejas belum dapat dipastikan berikutan kekangan komunikasi dan ketiadaan litupan rangkaian di lokasi kejadian.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Carolyne Utih