
KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 utas jam tangan mewah jenama Rolex dan 15 barang kemas yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada adik ipar bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Nor Shahira Atirah Anuar @ Kamaruddin, hari ini secara rasmi menjadi harta kerajaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berkata ia susulan selepas Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad memerintahkan supaya harta itu dilucut hak kepada kerajaan.
“Mahkamah telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta itu, namun tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta tersebut,” katanya selepas prosiding sebutan kes hari ini yang ditetapkan bagi kehadiran pihak ketiga.
Sementara itu, peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi yang mewakili Nor Shahira Atirah mengesahkan perkara itu.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak SPRM memohon perintah daripada mahkamah untuk menyiarkan warta bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta itu untuk hadir ke mahkamah, mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.
Pada 4 Mei lepas, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis berkenaan terhadap Nor Shahira Atirah, memohon supaya 23 utas jam tangan mewah itu dan 15 barang kemas yang disita daripada responden dilucutkan hak kepada kerajaan.
Permohonan itu dibuat atas alasan pendakwa raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah berpuas hati bahawa harta alih yang disita oleh SPRM dilucutkan hak, iaitu tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta itu.
Dakwa pemohon, harta itu diperoleh hasil daripada atau berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – Bernama