
MAKKAH: Sebanyak 22,711 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci setakat ini, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun.
Beliau berkata ia melibatkan 74 penerbangan yang telah mendarat di Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah, dengan satu lagi penerbangan dijadual tiba di Jeddah malam ini.
“Alhamdulillah, operasi haji kini memasuki minggu keempat dan kesinambungan operasi dapat diteruskan seperti dijadualkan dengan semua perancangan berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Hisham berkata semua jemaah haji Malaysia kini berada di Makkah selepas rombongan jemaah Muassasah terakhir dari Madinah menerusi penerbangan KT033 tiba di Hotel Al Tayseer, Makkah pada Sabtu lepas.
“Kesemua jemaah kini sedang membuat persiapan bagi menantikan kemuncak ibadah haji iaitu Hari Wuquf yang dijangka pada 26 Mei ini,” katanya.
Beliau berkata persiapan di kawasan Masya’ir juga hampir lengkap dan pihak pengurusan Tabung Haji (TH) akan mengadakan lawatan ke tapak perkhemahan dalam masa terdekat bagi menyelaras persediaan akhir menjelang Hari Wuquf.
Operasi haji musim 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
-Bernama