
BINTULU: Seramai 2,258 murid daripada golongan B40 dan ahli Pandu Puteri dari 29 sekolah menengah dan rendah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini menerima bantuan kelengkapan sekolah.
Simbolik penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai sebahagian daripada usaha membantu murid-murid yang terkesan kembali ke sekolah dengan lebih selesa dan bersedia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama antara PPPM Cawangan Sarawak dan OCI TerraSus Sdn Bhd, yang telah menyalurkan RM100,000 bagi membiayai pembelian beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas makanan untuk diagihkan kepada penerima.
Menurut Yang Dipertua PPPM Cawangan Sarawak, Dato’ Dayang Morliah Datuk Awang Daud, bantuan ini bukan sekadar meringankan beban keluarga tetapi juga memberi motivasi kepada murid-murid untuk meneruskan pembelajaran dengan semangat baharu.

“Kami percaya bahawa setiap sumbangan yang diberikan dapat membawa perubahan positif.
“Usaha ini juga seiring dengan komitmen kami dalam memperkasa wanita muda sebagai pemimpin masa depan melalui pendidikan dan pembangunan kendiri,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu hari ini.
Beliau memberitahu, persatuan turut menerima sokongan daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta, yang bersama-sama menjayakan program ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.

“Kami berharap lebih banyak pihak tampil membantu, khususnya dalam memberi sokongan kepada mangsa bencana seperti banjir.
“Persatuan Pandu Puteri sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan ahli dan masyarakat, bukan hanya melalui aktiviti kepanduan tetapi juga menerusi kerja-kerja kebajikan yang berterusan,” tambah Morliah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Astana Negeri, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Bintulu, jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, sektor swasta serta tenaga pengajar sekolah-sekolah terlibat atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini.
Oleh Carolyne Utih